kami kawan! |
Puisi Sebab Dia Adalah Sahabat.
Dia adalah yang Allah beri kepadaku,
walau yang mencarinya adalah aku,
maka dia adalah hadiah,
mustahil sekadar dilempar begitu.
Biarlah dia berbicara hanya sedikit,
Biarlah dia berjauhan,
Biarlah kadangkala ada salah sangkaan,
Biarlah ada waktu dia melukakan,
Sebab dia adalah sahabat,
maka aku tidak pernah menghiraukan.
Mengira bahagia-bahagia yang wujud bila dia ada di sisi,
itu sahaja sudah melebihi dunia dan segala isi.
Kalau dia tiba-tiba menyimpang,
aku adalah yang akan menghulurkan tangan dan tidak berjauhan,
Kalau aku adalah yang tersungkur,
aku akan segera bangkit agar dia tidak kususahkan.
Sebab dia adalah sahabat,
dan aku tahu sahabatku adalah manusia,
maka aku hormati kekurangan yang ada,
dan aku besar-besarkan kelebihannya,
Hanya iman yang mampu melestari hubungan ini,
mengekstensi hingga ke syurga nanti.
Sebab dia adalah sahabat,
mustahil aku mahu berada di syurga tanpa dia di sisi.
Puisi Cinta Sahabat Syurga.
Sahabat Syurga itu,
adalah yang wujud di dunia,
bukan sekadar duduk bersama
tetapi mengajak kita kepadaNya.
Sahabat Syurga itu,
bukan dikenali dengan wangnya,
juga bukan dengan keindahan wajahnya,
tetapi dengan kecantikan akhlaknya,
dan kesungguhannya mengajak kita ke syurgaNya.
Sahabat Syurga itu,
adalah yang menimbulkan rasa untuk berubah di dalam diri,
bukanlah Sahabat Syurga itu sempurna seperti Malaikat Ilahi,
dia manusia sama seperti kita ini,
tinggal, dia berusaha memperbaiki diri.
Lantas, kita turut terserap sekali.
Sahabat Syurga itu,
bukanlah yang sekadar bersama saat gembira,
bukanlah juga yang sekadar ada saat sedih,
tetapi dia bersama sepanjang masa,
walau terpisak jarak dunia,
hatinya dan hati kita sentiasa bersatu,
di dalam lancaran doa-doanya.
Sahabat Syurga itu,
adalah yang kala kita jatuh ke neraka,
dia akan merempuh bahang menghulurkan tangannya.
Sahabat Syurga,
semua menginginkannya,
tetapi ramai yang terlupa untuk menjadinya.
nukilan: SAUDARA HILAL ASYRAF @ LANGITILAHI.COM
No comments:
Post a Comment